ppmksar's newsletter

 
 
Volume 2, Issue 1 (December 2000) - page 3
 
 
[ Home | Official | Newsletter | Services | Activities | About Us | Links ]
 
   
 
Lawatan Sambil Belajar ke Negara Brunei Darussalam
Pada tahun 200, PPMKSAR telah membuat lawatan sambil belajar ke Negara Brunei Darussalam.  Lawatan tersebut telah mengambil masa selama 4 hari iaitu dari 31 hb Ogos hingga 3 hb September, 2000 dan rombongan seramai 14 orang itu telah diketuai oleh Pengerusi  Persatuan, Puan Rashidah Hj. Bolhassan.

Lawatan ini bertujuan untuk menjalin hubungan dua hala antara ahli-ahli PPMKSAR dengan kakitangan Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan kakitangan Institusi/Jabatan lain di Brunei Darussalam, khasnya bahagian Perpustakaan, berkongsi pengalaman dan bertukar-tukar pendapat mengenai perkembangan teknologi maklumat dan usaha-usaha untuk mempertingkatkan lagi prestasi perkhidmatan dan juga melawat ke tempat-tempat yang menarik dan bersejarah.
Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menjadi hos kepada lawatan ini dan rombongan telah disambut dengan mesranya oleh Ketua Pustakawan dan kakitangan-kakitangan Perpustakaan.  Satu taklimat ringkas telah diberikan mengenai UBD melalui persembahan video.

Selain daripada UBD (Perpustakaan), tempat-tempat lain yang telah dilawati adalah seperti, Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, Maktab DPM Al-Mugtadee Billah, Perpustakaan DBP, Perpustakaan RTB, Perpustakaan Muzium Brunei di Bangunan Arkib Negara, Bangunan Alat-alat Kebesaran DiRaja, Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan dan ke Kampong Ayer.

Pada masa di luar jadual lawatan, rombongan juga telah dapat menikmati keindahan Taman Jerudong, berkunjung ke tapak Expo BITEX 2000 dan ke gerai gerai penjualan barangan ASEAN.Satu jamuan makan malam di Restoren Aneka Rasa, Kiulap telah diadakan untuk meraikan rombongan dan dihoskan oleh Persatuan Perpustakaan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

Sebagai kesimpulan, objektif lawatan ini telah tercapai iaitu dengan terbentuknya satu kerjasama di antara perpustakaan-perpustakaan di Sarawak, Brunei dan Sabah dalam pengumpulan dokumen-dokumen mengenai Borneo.  Lawatan ke beberapa buah perpustakaan, telah membolehkan ahli rombongan membuat persamaan dan perbezaan berhubung aspek perkhidmatan dan teknologi dengan tempat sendiri.

PPMKSAR juga telah merakamkan ribuan terima kasih kepada pihak-pihak yang berkenaan terutama sekali pihak UBD di atas segala layanan yang mesra dan perkhidmatan yang telah diberikan.

 

 
 
 Laporan disediakan oleh Korina Ibrahim
 



 

 


[ Home | Official | Newsletter | Services | Activities | Album | Links ]


1